KUALA LUMPUR: Sejumlah 10,106 kes jenayah komersial direkodkan melibatkan kerugian melebihi RM866 juta bermula Januari hingga 28 April tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata jumlah ini bersamaan purata 85 kes sehari.

"Berbanding tempoh sama tahun lepas yang mencatatkan 10,931 kes dan nilai kerugian lebih RM534 juta, peratusan kes bagi tahun 2024 telah mencatatkan penurunan 8.2 peratus. Namun, nilai kerugian mencatatkan peningkatan sebanyak 62.1 peratus," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata daripada aspek pertuduhan, sejumlah 4,880 kertas siasatan telah dituduh di mahkamah sepanjang tempoh sama berbanding 4,598 pertuduhan untuk tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Dalam perkembangan berasingan, Ramli berkata masih ramai dalam kalangan masyarakat tidak mengetahui mengenai portal Semakmule yang dibangunkan JSJK bagi membolehkan orang ramai membuat semakan nombor akaun bank individu dan syarikat yang telah dilaporkan terlibat dengan kegiatan penipuan.

"Sehingga kini, portal ini telah menyenaraikan sejumlah 198,125 akaun bank milik individu dan 315 akaun bank milik syarikat. Daripada jumlah itu, 97,986 tangkapan telah dilakukan dan sebahagiannya telah dituduh di mahkamah," katanya.

Beliau berharap kemudahan portal ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat dan seterusnya menjadi antara mekanisme yang efektif dalam pencegahan jenayah komersial.

-- BERNAMA